Buat pengetahuan pembaca, aku seorang pecinta kucing. Memandangkan terdapat banyak kelebihan memelihara kucing, aku mengambil keputusan untuk membela seekor. Setelah beberapa bulan mencari-cari baka kucing yang aku minati, aku akhirnya berjumpa dengan satu klinik veterinar di sekitar bandar yang menjual kucing betina jenis Scottish Fold.
Pada kali pertama aku ditunjukkan kucing itu oleh doktor, aku sangat gembira kerana rupanya yang sangat comel dan juga manja. Tanpa berfikir panjang, aku membuat keputusan untuk membeli kucing itu. Aku juga berniat untuk menjadikan kucing tersebut sebagai hadiah hari jadi isteriku yang ke 24. Kebetulan dia juga amat suka akan kucing dan aku berharap dia gembira dengan kejutan ini.
Aku membeli kucing tersebut dengan harga RM350. Aku namakan dia Neko, yang diambil dari bahasa Jepun yang bermaksud kucing. Neko nampaknya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan aku dan isteriku. Isteriku juga sangat suka memanjakannya dan kami memeliharanya tak ubah seperti seorang anak. :-)
Selama hampir setahun dibawah jagaan kami, Neko membesar dengan sihatnya. Bulunya semakin gebu kerana kami berdua sangat menitikberatkan pemakanan kucing yang sihat untuk Neko. Keletah Neko yang lucu selalu menghiburkan kami. Paling melucukan, Neko sangat suka tidur dibawah kipas yang dipasang dengan kuatnya. Aha, barangkali ia suka merasa bulu gebunya ditiup angin. Ia juga sangat suka masuk di dalam kotak. Tidak kira lah kotak kasut atau kotak makanan bijirin, Neko akan masuk dan baring di dalam kotak tersebut selagi ia dapat memuatkan badannya yang montel itu.
Sehinggalah pada suatu hari nasib malang menimpa aku dan isteriku. Ketika kami sedang sibuk melayan tetamu yang datang bertandang untuk berhari raya, Neko telah menyusup keluar melalui pintu rumah yang separuh terbuka. Aku dan isteriku tidak sedar akan kejadian itu sehinggalah salah seoarang teman sepejabat yang berkunjung ke rumah bertanyakan di manakah kucing peliharaan ku. Aku cuba mencarinya di dalam sangkar dan di bawah katil. Tidak ada. Aku memanggil nama Neko berulang kali dan cuba menggoncangkan bekas makanannya supaya ia datang untuk makan. Aku mula menyelongkar stor dan di bahagian beranda rumah untuk mencari mana lah tahu ia tidur di situ. Neko tiada untuk meyahut panggilanku. Aku sudah mula resah dan mencarinya di sekitar halaman rumah. Tiba-tiba aku ternampak kelibat Neko di seberang jalan. Ia sedang asyik melihat kupu-kupu di pokok bunga dan cuba untuk menggapainya. Aku memanggilnya dengan kuat dan segera bergegas untuk mengambilnya.
Sedang aku berlari ke seberang jalan untuk membawa Neko pulang ke rumah, tiba-tiba sebuah kereta mewah jenis Lotus melalui jalan di kawasan rumahku. Neko yang mendengar suaraku memanggilnya mula berlari ke arahku.
DUM!
Aku tergamam melihat kejadian yang berlaku di depan mataku. Kereta mewah itu tetap meluncur laju tanpa mengetahui terdapat makhluk kecil yang cuba melintas jalan. Ya, Neko telah dilanggar. Setibanya aku di seberang jalan tempat Neko cuba melintas tadi, aku lihat makhluk kecil itu menggelupur kesakitan. Aku mula menjerit dan memanggil namanya berulang kali. Dia hanya memandangku dengan pandangan sayu dan aku mengerti bahawa dia sedang menanggung kesakitan yang teramat. Kakinya patah, separuh dari kepalanya turut hancur. Neko hanya mampu mengiau tanpa mengeluarkan suara. Darah mengalir dari kepalanya dan aku cuba untuk mengangkat badan Neko yang tidak berupaya itu. Melihat keadaannya aku mulai sebak dan terasa ingin meraung kerana aku sepatutnya menyedari akan ketiadaannya di rumah lebih awal. Kalau tidak, kejadian ini mungkin tidak akan berlaku. Aku berfikir mahu menghantarnya ke klinik veterinar secepat yang mungkin akan tetapi setibanya aku di kawasan rumah sambil membawa tubuh makhluk tersebut, Neko sudah tidak bernyawa lagi.
Aku hampir tidak percaya bila mengenangkan perkara ini. Kucing kesayanganku selama ini dilanggar di depan mataku sendiri. Aku mengakui itu salahku tetapi akhirnya aku akur mungkin ini adalah takdir untuk kehidupan Neko dan kami suami isteri. Ini adalah antara pengalaman hidup yang sukar aku lupakan. Biarlah Neko menjadi kenangan dalam hidup kami. Terima kasih Neko kerana hadir dalam hidup kami.
No comments:
Post a Comment